Tuesday, August 14, 2012

Dosa dan Pahala

Aku selalu mendengar kata-kata seperti: "Ish bulan Ramadhan ni, renti-rentikanla mengumpat."

Atau, "Kita ni tengok sukan terjun Olimpik di bulan Ramadhan, memang pahala tak dapat. Yang dapat tengok peha je."

Atau, "Kau ni mencarut di bulan puasa, kurang pahala tau."

Atau ayat daripada artis-artis: "Saya bertudung sementara bagi menghormati bulan yang mulia ni."

Aku rasa ada betulnya ayat-ayat di atas. Memang kita patut menghormati bulan Ramadhan dan memperbanyak amal ibadat.

Tapi cara ayat-ayat di atas disampaikan agak pelik, seolah-olah ada satu mesej yang tersembunyi iaitu:

"Kang dah habis bulan Ramadhan, ayuhlah kita berbuat dosa secara pukal!"

Friday, August 10, 2012

Teori Konspirasi Terbukti Benar!

Aku baru lepas baca satu artikel bertajuk "Teori Konspirasi Itu Bodoh" di blog Suhaimi Ramly. Beliau menentang sekeras-kerasnya penyebaran teori konspirasi yang semakin menjadi-jadi zaman ini, dan menolak kredibiliti teori-teori tersebut.

Aku tak paham mengapa beliau berpendirian sebegitu, sedangkan bukti kewujudan teori konspirasi jelas terpampang merata-rata. Bukan sekadar cakap-cakap orang, malah kat Youtube pun penuh video membuktikan kebenaran teori konspirasi berkaitan Yahudi menguasai dunia dan cuba memesongkan akidah umat Islam melalui barangan harian seperti ubat gigi Colgate, Pokemon, jeruk nangka, dan kuaci Sunflower. Terbaru, akhbar Sinar Harian mendedahkan bahawa Sukan Olimpik 2012 adalah kemuncak konspirasi Yahudi. Takkanlah akhbar gah dan bermutu macam Sinar Harian nak menipu? Kawan aku Azri Zahier pun pernah ditampilkan dalam sebuah artikel penuh Sinar Harian tau! (Dan BUKAN bapak dia yang tulis sendiri artikel tu. Langsung bukan.)


Encik Suhaimi, saya hormati pandangan encik. Tapi di sini ingin saya ketengahkan lagi beberapa bukti yang cukup kukuh dan cukup utuh bahawa puak Zionis memang sedang menggembleng tenaga untuk menjatuhkan umat Islam, khususnya orang Melayu. Mari kita lihat.


Bukti 1: Facebook

Perhatikan logo Facebook di bawah.
 

Mengapa dipilih warna biru-putih? Bukankah ini warna bendera Israel?



Mungkin pada pendapat encik, ini hanyalah kebetulan. Tapi mari kita teliti. Dengan kepakaran saya mengemudi Adobe Photoshop CS5, saya telah berjaya menerbalikkan logo Facebook, ini hasilnya:



Cuba encik baca apa yang tertulis sekarang. Okey biar saya bacakan, sebab saya tak percaya kebolehan membaca encik. Bila diterbalikkan, Facebook menjadi "t9c6pook". Sekarang mari kita Google kalimah ini, dan lihat hasilnya:





Pautan pertama yang ditemukan adalah Wikipedia tentang Zionism. Hah. Tak percaya lagi pada teori konspirasi?


Bukti 2: Kopiah Rabbi Yahudi




Lihat gambar ini, seorang rabbi Yahudi sedang memberi ucapan. Mungkin tiada yang pelik pada mata encik. Tapi pada kami yang menghalusi setiap perkara dengan mata hati, kami nampak apa yang encik terlepas pandang. Mari kita zoom.



Encik nampak apa yang saya nampak?


PIKACHU! Sekarang encik percaya bahawa Pokemon adalah dakyah Yahudi untuk menyesatkan umat Islam? Takkan encik nak biarkan anak-anak encik menonton Pokemon lagi selepas ini? Apa perasaan encik kalau satu hari anak encik pulang ke rumah sambil melaungkan "Shalom" dan membawa lilin bercabang tujuh? Ketika itu nasi sudah menjadi bubur, menyesal pun tiada gunanya. Melainkan kalau encik memang suka bubur. Saya cadangkan encik tambah telur masin, sedikit bawang goreng, dan secubit daun sup untuk menaikkan aroma.

Cukuplah rasanya dua bukti di atas. Saya rasa encik dah tak perlu menegakkan benang yang basah. Percayalah, teori konspirasi memang wujud. Semenjak saya mendapat pencerahan tentang New World Order, Illuminati dan Free Mason, saya seperti tersedar dari lamunan yang panjang. Saya seperti terlempang oleh kebenaran yang disembunyikan puak-puak berhati sampah ini.

Kalau encik ingin terus menutup mata dan memekakkan telinga, silakan. Tapi jangan salahkan kami kalau bangsa kita yang tercinta ini akhirnya lumpuh dan longlai, seperti benang encik yang basah tadi.

Saya pula, sebagai ahli golongan yang telah dicerahkan, akan mengambil keputusan untuk mengubah dunia dengan segala pengetahuan saya tentang teori konspirasi ini. Bagaimana? Ya, dengan cara menyebarkan pengetahuan ini dengan lebih luas, supaya semua orang tahu tentangnya. Apa yang akan terjadi kalau semua orang tahu pasal teori konspirasi? Erm. Entah. Saya pun tak pasti. Dan saya pun tak berapa tahu apa tindakan lain yang patut saya ambil untuk mengekang kebangkitan Zionis selain klik butang Share kat Facebook. Saya ni kalau kongsi kebenaran kat Internet rajinlah. Kalau pasal nak betul-betul mengubah dunia, malas sikit. Hehe. Kerja saya dah selesai, biarlah orang lain pulak lawan Zionis.

Apa pun, encik fikirkanlah. Sementara encik bermuhasabah diri, saya nak pergi tengok filem Batman yang terbaru. Saya yakin filem ini tiada kaitan dengan agenda Yahudi, sebab saya suka Batman. Ada desas-desus mengatakan bahawa Pengarah Urusan Warner Brothers yang mengedarkan filem ini, Barry Meyer, adalah seorang Yahudi.

Tapi saya tak percaya. Saya bukan jenis yang percaya khabar angin tanpa bukti yang kukuh.

Sunday, August 5, 2012

Kau Tiub

Satu je benda yang aku tak suka pasal Jerman, iaitu bile bukak Youtube, nampak benda ni:



Wadaf? Kadang-kadang aku nak bukak video budak gemuk jatuh basikal pun tak boleh, sebab lagu latar dia tak dapat hak penerbitan dari GEMA. Siapa entah GEMA ni.

Dahla aku duduk kampung terpencil. Hujung-hujung minggu ni, Youtube-lah tempat aku menghiburkan diri. 


Tak GEMAr betul la camni.