Sunday, December 2, 2012

Riak Tak Sengaja.... La Konon

Jaringan sosial dan kepantasan akses internet tanpa wayar telah memangkin satu fenomena luar biasa: riak dan takbur tanpa batasan.

Setiap hari aku pegi suapan berita Facebook, mesti penuh dengan keriakan, yang lama-lama jadi norma. Orang yang kelihatan macam bijak agama pun tak boleh lari daripada riak. Tadi aku tengok ada satu status Facebook berkata, "Tengok 1 Juta Money Drop. Jumlah surah dalam Al-Quran pun tak tau? Layak ke bergelar Muslim? Such a disgrace!" Ini juga adalah sejenis riak bertopengkan pseudo-dakwah, sebab secara tak langsung dia rasa diri dia adalah Muslim yang lebih baik hanya berdasarkan pengetahuan berapa surah dalam Al-Quran. Senangnya. Kau nampak orang tu tak tahu satu detail tentang Al-Quran, terus tak layak bergelar Muslim. Tak tahu pulak aku dalam Rukun Islam atau Rukun Iman ada rukun tersembunyi iaitu "Tahu berapa banyak surah dalam Quran."

Yang kelakarnya adalah kat bawah status tu, ada satu lagi jenis riak yang sangat berlainan, iaitu perempuan Melayu urban yang tulis, "Dom Perignon". Ringkas, tapi berkesan, iaitu riak bahawa beliau baru menikmati champagne berjenama Dom Perignon, champagne paling berprestij di dunia.

Itu beberapa contoh dari suapan berita Facebook aku dalam jangkamasa sejam pagi ni. Darabkan dengan bilangan kawan yang aku ada dalam Facebook, dan bilangan jam dalam sehari, dan bilangan hari dalam setahun, dan bilangan tahun yang berlalu sejak aku mula bukak akaun Facebook. Jumlah keriakan adalah berbilion!

Mungkin cara hidup sekarang menyebabkan semua orang jadi kurang berkeyakinan diri, lantas memerlukan pujian/iri hati dari orang lain sepanjang masa untuk membina keyakinan. Atau mungkin riak dan takbur adalah naluri asas manusia, cuma kewujudan Facebook, Twitter dan Instagram memberikan satu saluran yang sesuai untuk membebaskan naluri tersebut.

Secara jujurnya, aku pun suka riak jugak. Tapi setelah lama hidup, aku mendapati ada 3 darjah keriakan, dan hanya satu jenis yang orang suka.

Darjah keriakan pertama adalah riak yang jelas, terang, in your face dan tak bagi can. Contoh riak darjah pertama adalah letak gambar kereta Audi TT baru di Facebook dengan caption, "Audi TT baru, bitchaaaassss!!! Sila jeles." Ini adalah riak yang sepatutnya paling menjengkelkan, tapi kebanyakan orang tak kisah dengan riak jenis ni. Malah, riak macam ni adalah yang paling banyak mendapat like. Mungkin sebab orang menghargai kejujuran, dan riak secara jujur kelihatan lebih mulia.

Darjah keriakan kedua adalah riak dalam selamba, secara tak langsung, dan tersembunyi. Contohnya semalam ada kawan aku letak gambar anak kecik beliau tengah mencapai sesuatu dalam sebuah beg Louis Vuitton. Caption gambar tersebut adalah, "Kantoi carik iPad dalam bag I." Adakah gambar seorang bayi mencapai barang dalam beg merupakan satu detik yang perlu dikongsi dengan 1000 rakan Facebook? Pada aku, setakat budak kecik letak tangan dalam beg, macam tak payah ambik gambar pun takpe. Kalau kejadian sehari-harian macam tu pun nak kongsi dengan 1000 orang, maknanya adakah aku patut kongsi gambar aku tengah ketip kuku kaki semalam? Oh lupe, aku tak amik pun gambar macam tu, sebab tak relevan untuk diabadikan, apatah lagi dikongsi. 


Maka kenapa kawan aku tu memilih untuk kongsi gambar bayi dengan tangan dalam beg tersebut? Sebab beg tu besar gabak dan berjenama LV. Dan budak tu tengah mencapai iPad. Mestila kena bagitau! Disebabkan iPad tu tersorok dalam beg, maka perlu dijelaskan kewujudannya dalam caption, manakala beg LV tak perlu diterangkan, sebab dah jelas kelihatan dalam gambar. Ini adalah contoh riak darjah kedua, di mana periak berpura-pura menggunakan alasan "Oh tengok telatah anak aku, kiut sangat taww" untuk mengetengahkan beg LV dan iPad beliau.

Riak darjah ketiga adalah yang paling hina, iaitu riak bertopengkan emosi negatif. Contohnya sorang kawan Facebook aku letak gambar semangkuk mi segera, tapi kalau perhatikan dalam gambar tu ada satu iPhone 5, kamera DSLR dan buku panduan melancong ke Itali. Caption gambar berbunyi, "Sedih gila, malam ni makan megi je. Takde sape nak sponsor I makan sedap ke??" Tergelak aku. Boleh pulak kau muatkan segala gajet elektronik dan buku melancong, sekali dengan mangkuk mi segera dalam satu frame tu. Nampak sangat penat susun secara strategik. Pastu buat caption sedih (emosi negatif) supaya nampak rendah diri.

Dan berpusu-pusulah orang komen "Eh, nak pergi Itali pun sedih lagi ke?" atau "Ala sekarang makan megi, kat Rome kang makan spaghetti, sama la tu." Pastu si periak pun reply, "Ehh, siapa cakap I nak pegi Rome? You ni paparazzi tau!"

Dan aku pun muntah cair di kibod.



Sesungguhnya entry ni bukanlah bertujuan mengutuk orang riak, sebab kita semua riak. Tapi pada aku, kalau kau nak riak tanpa dibenci, tak payah tapis-tapis, tak payah sembunyi-sembunyi. Cakap je terus, sebab orang lebih menghargai riak darjah pertama, iaitu riak dalam kejujuran.

Contohnya riak macam ni:


" Cuti Krismas ni aku nak pergi Morocco! Suck ittttttt !!! "